CORETAN‎ > ‎

Mangsa Kerja Gila! Mangsa Nikah Palsu!

posted Jun 11, 2012, 12:05 AM by Nikah Siam   [ updated Jun 11, 2012, 10:13 PM ]
Alhamdulillah! 

Baru-baru ini kami berjaya menyelamatkan seorang wanita dari kesengsaraan akibat ditipu bulat-bulat oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Kisah bermula beberapa tahun yang lalu apabila seorang wanita, Lisa (bukan nama sebenar), telah bernikah dengan cara sindiket pernikahan palsu di Kelantan.  Mereka telah membayar sebanyak RM7,000 untuk urusan nikah tersebut.

Pernikahan telah dijalankan oleh seorang lelaki di dalam negeri Kelantan dan Surat Nikah Narathiwat dikeluarkan kepada mereka.

Lisa merupakan isteri kedua.  Setelah beberapa minggu kembali ke Malaysia, maka suaminya mula menjauhkan diri.  Makin lama semakin tidak dapat dihubungi dan akhirnya terus terputus hubungan.  Lisa sedih dan kecewa digantung tidak bertali.

Suatu hari Lisa terbaca artikel KENALI SINDIKET PERNIKAHAN PALSU di laman web Pesona Consult.  Lisa menghubungi kami dan kami terus berjumpa dengan beliau di Kuala Lumpur.  Dari kisah dan perbincangan awal, kami dapati bahawa dia telah tertipu dengan sindiket palsu tersebut dan "suami" beliau telahpun lepas tangan dari apa-apa tanggungjawab.

Kesimpulan dibuat untuk menyelesaikan perkara ini secara rasmi.

Kami telah bertolak ke Narathiwat dari Pekan Danok (sempadan Bukit Kayu Hitam) pada waktu pagi Jumaat yang lepas.  Perjalanan kami amat mencabar.  Sepanjang perjalanan kami telah melalui berpuluh-puluh sekatan jalan yang dikawal oleh tentera Thailand.  Di setiap sekatan, rifel otomatik dan mesingun besar diacukan ke kenderaan kami, sebagai langkah berjaga-jaga oleh Tentera Thai.  Suasana amat menakutkan. Apatah lagi kami diberitahu, hanya selang dua hari sebelum itu satu pertempuran berlaku betul-betul di mana kami lalu dan  mengorbankan beberapa orang rakyat dan tentera Thai.  Wilayah Patani, Yala dan Narathiwat tidak tenang seperti Songkhla.  Memandangkan kami amat biasa dengan ketenteraman di Songkhla, maka pengalaman ke Narathiwat amatlah mendebarkan dan menakutkan.

Dengan niat benar-benar ingin membantu Lisa, kami meneruskan perjalanan dengan hati yang berserah sepenuhnya kepada ALLAH SWT.

Akhirnya, setelah hampir empat jam perjalanan, kami sampai ke Pejabat Majlis Agama Islam Narathiwat.  Di sana, Kadhi Besar/Pendaftar Nikah Narathiwat menunggu kami di hadapan bangunan tersebut.

Aduan dibuat.  Fail pernikahan dikeluarkan.  Gambar-gambar kadhi bertauliah di tunjukkan untuk pengecaman.

Akhirnya Lisa mendapati bahawa orang yang menikahkan beliau BUKANLAH seorang kadhi yang bertauliah bahkan cuma seorang yang MENYAMAR menggunakan identiti kadhi yang sebenar, sewaktu mereka bernikah di Kelantan.  Gambar Kadhi sebenar dan si penyamar amatah berbeza!

KESIMPULANNYA:  Pernikahan itu tidak sah kerana mereka bernikah di Kelantan, diluar kawasan tauliah kadhi tersebut. Tambahan pula, bukan kadhi sebenar yang menikahkan beliau, tetapi kadhi palsu yang menyamar.

TINDAKAN YANG DIAMBIL:  Majlis Agama Islam Narathiwat mengeluarkan satu keterangan rasmi tentang status pernikahan Lisa yakni nikah tersebut TIDAK SAH dan BATAL.

Kami meneruskan perjalanan balik ke Danok dan sekali lagi melalui perjalanan yang mendebarkan tersebut.

Lisa kini bebas dari kehidupan yang sengsara, tanpa mengetahui status pernikahan beliau yang sebenar sebelum ini dan Lisa bebas meneruskan kehidupan dan bernikah secara sah dengan lelaki yang benar-benar mencintai beliau, InsyaAllah!

Kami amat berasa lega, usaha kami, dengan IZIN ALLAH, telah membantu seorang wanita yang teraniaya dan dapat kembali ke kehidupan yang baik... Alhamdulillah.

"Satu perbincangan ringkas telah dibuat dengan Majlis Agama Islam Narathiwat.  Memandangkan perjalanan ke Narathiwat amatlah merbahaya dan berisiko tinggi, maka selepas ini, mana-mana pasangan yang perlu mendapatkan penjelasan status pernikahan mereka (jika tertipu dengan sindiket) bolehlah melakukannya melalui Pesona Consult.  Majlis Agama Islam Narathiwat akan menghantar pegawai yang boleh membantu, ke negeri Kelantan, untuk perbincangan dan aduan"

Jika anda merasa tertipu dengan sindiket, dan tidak pasti akan status pernikahan anda yang sebenar, maka, sila hubungi kami untuk urusan pengesahan.  InsyaAllah kami sedia membantu.


NOTA: Kami TIDAK membawa pasangan untuk bernikah di Narathiwat kerana perjalanan yang merbahaya dan jauh.   Kali ini kami ke Narathiwat untuk kes khas sahaja.  

Pasangan yang ingin bernikah kami hanya bawa ke Majlis Agama Islam Songkhla.  Perjalanan yang selesa dan selamat, InsyaAllah.


Comments